Menurut responden kami, Puan Hamimah Bt. Mat Hasyim,48, makam-makam tersebut terbiar hinggakan kami sendiri sukar untuk menemuinya kerana buat masa sekarang tiada penjaga yang ditugaskan untuk memelihara kawasan makam tersebut. Manakala menurut waris Tok Sagor, iaitu Encik Haji Ramli B. Ngah Mat Ali atau juga dikenali Orang Besar Perak, makam-makam tersebut bakal dibaik pulih dibawah pengurusan pihak istana kerana ia berpotensi juga sebagai tarikan pelancong. Menurut beliau lagi, makam-makam sultan asalnya memiliki ukiran melayu asli pada kayu cengal sebagai dekorasi. Namun kami tidak pasti pada komponen mana ukiran tersebut diletak memandangkan hasil-hasil seni tersebut telah dicuri dari makam. Berkaitan pantang larang semasa menziarahi makam sultan, beliau hanya berpesan supaya ikut aturan seperti ke tanah perkuburan yang biasa dimana suci dari hadas besar, memberi salam, mendoakan si mati, dan menjaga adab serta pertuturan.
Sekitar jam 2.10 petang, kami bertolak ke Kampung Tersusun Teluk Memali dengan harapan sempat untuk ke makam-makam sultan yang lain dan juga tapak kubur J.W.W Birch namun hasrat kami tidak kesampaian kerana terlepas simpang dan bila kami kembali ikut simpang yang betul, kami hanya sempat masuk separuh jalan sahaja memandangkan masa telah hampir jam 3.00 petang.
Pada hari lawatan tersebut, kumpulan kami tidak sempat untuk ke Galeri Pasir Salak kerana pada fikiran kami, rombongan lawatan akan pergi bersama-sama setelah berkumpul di lokasi perjumpaan semula.
Setelah berkumpul dan masing-masing telah solat, setiap ketua kumpulan diminta supaya melaporkan hasil lawatan dan selepas itu Encik Firdaus membuat sedikit ulasan berdasarkan laporan kami. Rombongan kemudiannya dengan persetujuan majoriti telah bertolak ke Teluk Intan untuk sarapan tengahari yang tertunda kerana menurut Encik Firdaus di Teluk Intan terdapat gerai mee yang istimewa dan paling sedap. Kami tiba disana pada 4.30 petang. Rezki tidak menyebelahi kami kerana sampai sahaja disana, mee sudah habis. Dengan sedikit kecewa, rombongan kami bersarapan di gerai yang lain berdekatan dengan Menara Condong. Kami juga tidak sempat untuk masuk ke dalam menara tersebut kerana waktu melawat hanyalah sehingga jam 5.00 petang. Kami sekadar bergambar di kawasan menara dan melawat gerai-gerai jualan berhampiran.
Rombongan bertolak balik pada jam 7.00 malam dan berhenti untuk solat Maghrib di Masjid Sultan Azlan Shah sebelum meneruskan perjalanan kembali.Kami selamat tiba di kampus pada jam hampir 9.00 malam.
No comments:
Post a Comment